Jul 3, 2018

Pegawai Polis Di Pulau Pinang Meninggal Dunia Selepas Ketuai Lafaz Ikrar

PULAU PINANG 3 Julai - Pegawai Turus Gerakan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintenden (DSP) Ahmad Faisal Ahmad Jalaldin meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung sejurus selesai mengetuai upacara lafaz ikrar pagi tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, Ahmad Faisal rebah sejurus melakukan tugasnya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPK di Dewan Mutiara kira-kira pukul 8.45 pagi.

Katanya, Ahmad Faisal,51, kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia.

“DSP Ahmad Faisal menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1991 dan mula bertugas di IPK negeri pada 2010.

“Kehilangannya pasti akan dirasai seluruh warga IPK kerana dikenali sebagai seorang pegawai polis yang komited ketika bertugas,” katanya di sini hari ini.

Thaiveegan dan Timbalannya, Datuk Roslee Chik turut meluangkan masa menziarahi jenazah Ahmad Faisal di surau Perumahan Pegawai Kanan Polis di Sungai Dua petang tadi selepas solat jenazah sebelum dibawa pulang ke Kamunting, Perak untuk dikebumikan.

DSP Ahmad Faisal meninggalkan seorang balu, Masniwati Mokhtar dan dua orang anak. -utusan

0 comments

Post a Comment