PIALA DUNIA 2018 | Selepas kali pertama pada 20 tahun lalu menjulang Piala Dunia, Perancis kembali membawa pulang trofi berprestij itu ke kota cinta.
Suatu yang memori yang indah buat pengurus Perancis Didier Deschamps khususnya, kali ini menjuarai Piala Dunia sebagai pengurus, selepas pada 1998 bertindak sebagai kapten untuk menjulang kejuaraan sama.
Turun sebagai pasukan pilihan, skuad Les Bleus menepati ramalan ramai dengan menewaskan Croatia 4-2 pada perlawanan akhir di Stadium Luzhniki, Rusia.
Croatia dilihat mempunyai semangat juang tinggi sepajang permainan, namun Perancis ternyata lebih bertuah untuk mengecewakan penyokong lawan.
Sepanjang 15 minit sebaik wisel sepak mula ditiupkan pengadil, Croatia lebih menguasai kawalan bola walaupun gagal untuk memberi ancaman berbahaya.
Sebaliknya, tuah Perancis hadir pada minit ke-18 apabila pemain Croatia terjaring gol sendiri.
Berpunca daripada sepakan bebas berhampiran kotak penalti oleh Antoine Griezmann, hasrat Mario Mandzukic untuk membuang bola melalui satu tandukan sebaliknya terarah ke gawang sendiri.
Tergaman dengan jaringan sendiri, Croatia bagaimanapun tidak menunjukkan mereka mudah menyerah yang terus agresif memburu gol penyamaan.
Ivan Perisic tampil melegakan penyokong mereka 10 minit berselang dengan satu rembatan cantik kaki kiri menewaskan penjaga gawang Perancis, Hugo Lloris.
Kedudukan 1-1 itu dilihat memberi suntikan semangat kepada Loka Modric dan rakan-rakan, namun ia hanya keselesaan sementara.
Malang sekali lagi menimpa anak buah Zlatko Dalic pada minit ke-38 apabila bola terkena tangan Perisic dalam kotak penalti sekali gus peluang itu diambil Griezmann untuk gol kedua Perancis.
Berbekalkan kedudukan 2-1, kedua-dua pasukan kembali dari bilik rehat untuk 45 minit kedua dengan momentum dan rentak semakin mengujakan.
Croatia memperlihatkan mereka tidak memberi laluan mudah, malah terus memberi tekanan kepada pihak lawan.
Begitu juga semangat ditunjukkan barisan pemain Perancis, mereka bijak mengambil kesempatan ketika Croatia buntu mencari gol penyamaan.
Dan Perancis hadir dengan gol ketiga pada minit ke-59 melalui sentuhan bintang mereka, Paul Pogba.
Kedudukan 3-1 untuk menyebabkan mental Croatia mula 'koyak', malah mereka pastinya sedar untuk melakukan kebangkitan luar biasa adalah sesuatu yang mustahil.
Enam minit berselang giliran Kylian Mbappe pula menambah derita skuad Vatreni dengan gol keempat Perancis untuk melengkapkan kejuaraan mereka.
Walaupun Croatia berjaya menjaringkan gol kedua melalui Mandzukic pada minit ke-69, segala-gala bagaikan sudah terlambat.
Croatia tidak mampu untuk bangkit melakukan sesuatu walaupun mereka cuba melakukan serangan bertubi-tubi ke kubu pertahanan Perancis.
Kejayaan Perancis pada edisi kali ini juga menyaksikan kekecewaan yang dialami mereka pada perlawana akhir Piala Dunia 2016 tertebus. -malaysiakini
0 comments
Post a Comment