Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan saksi atau bukti baru untuk membuka semula siasatan rasuah melibatkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull hari ini berkata 15 fail siasatan telah dibuka terhadap Taib pada masa lalu dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Bagaimanapun katanya, peguam negara kemudian mendapati tiada pertuduhan boleh dikenakan terhadap bekas ketua menteri Sarawak.
"Siasatan (terhadap Taib) tu memang sebahagian betul yang ditohmah," kata Shukri pada sidang akhbar di Petaling Jaya selepas melancarkan buku yang ditulis oleh presiden Transparency-International Malaysia Akhbar Satar.
"Masalahnya dia tidak buat keputusan, dia tidak sit for meeting (berada dalam mesyuarat). Dia tidak ada satu kes pun yang dia chair meeting (pengerusikan mesyuarat). Orang lain yang buat keputusan," jelas Shukri.
Oleh itu, katanya tiada pertuduhan boleh dikenakan terhadap Taib atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.
Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada SPRM akan membuka semula siasatan terhadap Taib berdasarkan laporan yang pertama kali dibuat oleh pemimpin NGO Gerakan Perubahan Sarawak, Francis Siah pada tahun 2011.
Siah dalam kenyataan pada Ahad lalu berharap Shukri akan membuka semula siasatan terhadap Taib berdasarkan laporan awalnya.
Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa siasatan tidak boleh dilakukan terhadap Taib melainkan laporan yang pertama itu diserahkan kepada SPRM.
Taib memerintah Sarawak sebagai ketua menteri dari tahun 1981 hingga 2014 dan merupakan ketua menteri paling lama di Malaysia.
Sepanjang tempoh itu pentadbirannya dicemari dengan tuduhan rasuah, pembalakan tidak terkawal dan anggota keluarganya mempunyai kepentingan perniagaan dalam projek-projek kerajaan. -malaysiakini
0 comments
Post a Comment