Jul 6, 2018

Tite Pertahan ‘Drama Melampau’ Neymar

SOCHI – Jurulatih Brazil, Tite kini tampil mempertahankan Neymar biarpun beliau dulu pernah mengkritik sikap penyerang skuad Samba itu.

“Menang atau kalah adalah adat permainan,” kata Tite pada 2012 selepas membimbing Corinthians menentang bekas kelab Neymar, Santos.

“Namun, untuk berpura-pura dan cuba mengambil kesempatan, itu bukan sebahagian daripada adat permainan.

"Itu adalah contoh buruk kepada kanak-kanak, anak saya dan kepada semua yang menyaksikan perlawanan ini.

“Ini kerana mereka akan fikir ia menjadi satu sikap bagus untuk mengambil kesempatan terhadap orang lain,” tegas Tite.

Namun, pada Piala Dunia ini, Neymar sering dituduh berpura-pura kesakitan dan terdapat video Tite mengkritik sikap bekas pemain Barcelona itu tersebar luas di laman sosial.

Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio juga lantang mengkritik Neymar tanpa menyebut nama bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu selepas penyerang itu menggelupur kesakitan sebaik Miguel Layun terpijak kakinya.

Bagaimanapun, Neymar kembali bermain ketika membantu Brazil menewaskan Mexico 2-0 pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik sekali gus mengundang rasa kurang senang peminat-peminat bola sepak dunia.

“Kami banyak bazir masa disebabkan seorang pemain ini sahaja. Saya fikir ini satu perbuatan memalukan untuk bola sepak terutama kepada kanak-kanak yang menyaksikan perlawanan ini kerana bola sepak sepatutnya menjadi sukan untuk semangat kesukanan, kejantanan dan seperti sukan-sukan yang lain.

Bukannya kita mahu melihat ‘drama’ berlebihan,” kata Osorio. –agensi

0 comments

Post a Comment