Jun 22, 2019

Donald Trump Berdepan Tuduhan Serangan Seksual Terbaharu

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berdepan tuduhan baharu melakukan serangan seksual selepas seorang wanita mendakwa dia diperkosa jutawan hartanah terbabit pada pertengahan 1990-an.

Artikel diterbitkan menerusi majalah New York semalam mendedahkan kolumnis majalah Elle, E Jean Carroll berusia 52 tahun manakala Trump berumur 49 atau 50 tahun ketika kejadian itu.

Menurut penulis lima buah buku itu, Trump meminta dia mencuba pakaian renda selepas pemimpin tersebut memberitahu beliau mahu membeli hadiah untuk rakan perempuannya.

Ketika tiba di bilik persalinan, Trump didakwa melakukan serangan seksual selama lebih tiga minit ke atasnya.

Carroll mendakwa dia akhirnya dapat melarikan diri, namun tidak melaporkan perkara itu selepas rakannya menasihatkan kes tersebut tidak berpeluang mendapat keadilan di mahkamah.

Trump bagaimanapun menafikan tuduhan itu malah beliau mendakwa tidak pernah bertemu Carroll.

"Dia mereka cerita untuk melariskan jualan buku baharu hasil tulisannya," kata Trump.

Difahamkan, lebih 10 wanita telah mendedahkan perbuatan salah laku seksual melibatkan Trump, namun dinafikan beliau. -Agensi

0 comments

Post a Comment