Jun 22, 2019

Malaysia Manfaatkan Perang Perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR: Malaysia memanfaatkan orientasi semula rantaian bekalan global susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dengan meningkatkan daya saing untuk menarik pelaburan baharu yang berkualiti tinggi.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata ini terutamanya mereka yang berkaitan dengan Industri 4.0.

"Tumpuan ini akan membolehkan negara mengambil peluang daripada pertumbuhan global yang akan datang apabila tiba masanya.

"Dalam kata lain, kami mempersiapkan diri dua langkah ke hadapan. Kami bersedia untuk menghadapi perang perdagangan yang lebih teruk, dan yang bakal berlaku dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya dalam ucapan pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Tahunan Kedua British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC).

Katanya pada masa ini, Malaysia antara negara utama yang meraih manfaat daripada penempatan semula perniagaan dan peralihan perdagangan dan pelaburan daripada perang perdagangan antara AS dan China.

Beliau berkata, ini dapat dilihat daripada statistik pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan pada suku pertama yang meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion daripada RM16.9 bilion tahun lalu.

Selain itu, FDI pembuatan yang diluluskan melonjak 127 peratus kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion tahun lalu.
Lim berkata, AS dan China adalah sumber FDI diluluskan yang terbesar pada suku tahun itu.

"Daripada RM20.2 bilion bagi FDI diluluskan dalam pembuatan, sebanyak RM11.5 bilion dari AS dan RM4.4 bilion dari China,” katanya.

Malaysia diiktiraf sebagai negara ke-22 paling kompetitif daripada 63 negara di dunia pada 2019 oleh Institut Antarabangsa untuk Pembangunan Pengurusan (IMD).

Malaysia juga berada pada kedudukan ke-15 bagi lokasi paling mudah untuk menjalankan perniagaan oleh Bank Dunia daripada 190 negara.

"Kami adalah lokasi selamat yang kompetitif bagi syarikat global," katanya.

UK adalah antara 20 rakan dagang paling penting Malaysia, dengan Malaysia mengeksport barangan bernilai RM8.6 bilion ke negara itu dan mengimport RM7 bilion pada 2018 (tidak termasuk perdagangan perkhidmatan).

Ini menjadikan jumlah perdagangan Malaysia-UK kepada RM15.6 bilion, dengan lebihan RM1.6 bilion yang memihak kepada Malaysia.

Bagi eksport perkhidmatan, katanya Malaysia mencatatkan defisit perdagangan perkhidmatan berikutan import yang lebih tinggi sebanyak RM10.8 bilion berbanding nilai eksport sebanyak RM7.8 bilion.

Sehubungan itu, katanya beliau berharap defisit dapat dikurangkan pada masa depan.

UK adalah pelabur kelapan terbesar di Malaysia dengan nilai FDI sebanyak RM22.3 bilion pada akhir 2018. -BERNAMA

1 comments:

  1. Slot Machines - MapYRO
    Search for slot machines 충주 출장마사지 found in 안산 출장샵 a location near your favorite 대구광역 출장샵 local casinos. 대구광역 출장안마 You can find hundreds of slot machines on MapYRO, where people also play slots 동해 출장안마 for

    ReplyDelete