PETALING JAYA: Peguam Negara Tommy Thomas tampil memberikan ucapan dalam bahasa kebangsaan selepas dikritik tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
Ucapan yang tular di media sosial itu dipercayai dibuat ketika majlis Sambutan Hari Raya Aidilfiri di Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas usaha menganjurkan majlis hari raya.
“Saya berharap hubungan erat di antara pegawai dapat dikuatkan dengan semangat setia kawan akan memberi manfaat kepada semua,” kata Tommy.
Terdahulu, Tommy berjanji memperbaiki penguasaan bahasa Melayunya, selepas mengakui tidak kerap menggunakan bahasa kebangsaan sewaktu berkhidmat di sektor swasta.
“Saya perlu menguasainya. Saya benar-benar mesti menguasainya. Saya berjanji untuk menguasainya,” katanya sebelum ini.
Minggu lalu, Tommy yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, meminta perbicaraan di Mahkamah Tinggi dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Kefasihan Tommy dalam bahasa Melayu antara isu yang dibangkitkan pengkritiknya ketika beliau dinamakan sebagai pengganti Tan Sri Mohamed Apandi Ali, awal bulan lalu
0 comments
Post a Comment