Jun 29, 2019

UPKO Sudah Pulangkan RM1 Juta Wang 1MDB

Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) telah mengembalikan wang sebanyak RM1 juta kerajaan yang sebelum ini didakwa diterima daripada 1MDB.

Menurut laporan The Star, Presiden Upko Madius Tangau berkata, parti itu berbuat demikian sebulan sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman pelucuthakan sivil untuk mendapatkan kembali RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Kesemua 41 penerima itu dikatakan menerima wang berkenaan dari akaun AmBank milik bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang disyaki menerima dana haram.

Tangau berkata parti itu tidak tahu sumber wang tersebut pada masa itu dan pada mulanya merancang untuk menggunakan wang RM1 juta itu bagi projek komuniti tetapi ia disimpan dalam deposit tetap selepas didapati tidak mencukupi.

"Akaun kami juga dibekukan berikutan siasatan dan kami mengambil keputusan untuk kembalikan wang itu bagi mengelakkan sebarang tindakan saman sivil," katanya.

Upko pernah menjadi parti komponen BN.

Berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2018, Upko meninggalkan gabungan itu dan kini bersekutu dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan.

Sebelum ini, bekas parti-parti komponen BN dan Umno Sabah yang menerima saman pelucuthakan itu mempersoalkan mengapa Upko dikecualikan oleh SPRM.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki, lebih banyak saman akan difailkan dalam tempoh dua minggu lagi. -Mkini

0 comments

Post a Comment