Jun 26, 2019

Zahid Hamidi Didakwa Atas Tujuh Pertuduhan Terima Suapan

KUALA LUMPUR 26 Jun - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan kali ini dengan tujuh pertuduhan menerima suapan lebih SGD4.2 juta daripada sebuah syarikat pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN), dua tahun lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 66 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut semua pertuduhan, beliau didakwa secara rasuah menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat berkenaan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dekat sini antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Turut hadir dalam prosiding itu ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya,Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. - UTUSAN ONLINE

0 comments

Post a Comment