Jun 24, 2018

Pemandu GRAB Mati Di Bunuh

GOMBAK: Misteri kehilangan seorang pemandu Grab terjawab selepas ditemui mati akibat dijerut, di dalam kenderaannya berdekatan flat Selayang Baru malam tadi.

Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi hitam itu ditemui polis kira-kira jam 11 malam di tempat letak kereta flat berkenaan.

Pihak polis terpaksa memecahkan cermin kenderaan mangsa untuk memeriksa keadaannya.

Pemeriksaan forensik menemui mayat mangsa di bahagian tempat duduk pemandu.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Aiman Nosri, 27 tahun, kali terakhir bertugas membawa penumpang pada Khamis jam 9.34 malam dari Jalan Tun Tan Cheng Lock ke Selayang Baru.

Apabila mangsa tidak pulang, keluarganya segera membuat laporan polis.

Sehingga kini, motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, mayat ditemui dalam keadaan tertungkup di mana kepalanya di bawah mengenai lantai kereta dan kaki di atas.

Memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Tey Kong Seng, laporan itu juga berkata polis menemui dua telefon bimbit, sepasang kasut berserta stokin, sepasang selipar dan sehelai baju di dalam kereta tersebut, namun tiada senjata dijumpai di tempat kejadian. -astroawani

0 comments

Post a Comment