Jun 24, 2018

Pulau Pinang Bebas Asap Rokok Dalam Lima Tahun

GEORGE TOWN -- Pulau Pinang menerusi Program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) dalam perancangan mewartakan seluruh negeri sebagai kawasan larangan merokok dalam lima tahun akan datang supaya menjadi negeri bebas asap rokok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Afif Bahardin berkata ia merupakan antara langkah inisiatif kerajaan negeri dalam melindungi penduduk Pulau Pinang khususnya daripada bahaya asap rokok.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri bagi memastikan perancangan bergelar negeri bebas asap rokok dalam tempoh lima tahun akan datang, berjaya dilaksanakan dan kami akan menggiatkan lagi pelaksanaan program kesedaran kepada orang ramai tentang larangan merokok di kawasan awam dan taman rekreasi.

"Kami bukan hendak sekat sesiapa merokok sebaliknya mereka (perokok) boleh menghisap di kawasan yang dikhaskan dan bukan di kawasan orang ramai.

"Kini, ia (larangan merokok) telah dilaksanakan di masjid dan rumah ibadat juga dah mula (laksana larangan merokok)," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Tembakau Sedunia 2018 peringkat Pulau Pinang.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Wan Mansor Hamzah dan Pengerusi Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia cawangan Pulau Pinang Datuk Seri Dr. T. Devaraj.

Afif berkata ketika ini, enam taman awam dan rekreasi di sekitar negeri ini telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok iaitu Empangan Air Itam, Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Teluk Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang.

Katanya usaha murni itu diteruskan dengan mewartakan Tapak Warisan Dunia Georgetown sebagai kawasan larangan merokok bermula 4 Julai 2015.

"Cuma ketika ini kekangan untuk laksanakan larangan di seluruh Pulau Pinang adalah daripada pemilik kedai, restoran, kopitiam dan hotel, ada beberapa isu yang mereka bangkitkan dan kita akan adakan perbincangan untuk menyelesaikanya bagi merealisasikan Pulau Pinang bebas asap rokok," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2018 iaitu ‘Tembakau dan Penyakit Jantung : Ke Arah Generasi Tanpa Merokok’ amat bersesuaian dengan misi Kementerian Kesihatan yang menyasarkan penurunan perokok hingga menjadi 15 peratus menjelang 2025.

Katanya bagai mencapai misi itu, pelbagai strategi sedang dilaksanakan bagi menjadikan generasi yang lahir pada 2009 ke atas adalah generasi bebas tembakau antaranya merangkumi pemantauan prevalen dan trend penggunaan tembakau serta melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap rokok. -BERNAMA

0 comments

Post a Comment