AIRASIA Bhd terus memberikan sokongan kepada pejuang kanser yang tidak bernasib baik melalui kempen #AirAsiaMAKNA.
Memasuki tahun ketiga kempen, syarikat penerbangan tambang rendah itu berjaya membuat jualan amal baju-t edisi terhad dengan rekaan juruterbang dan kru kabin berjumlah RM300,300.
Pengerusi AirAsia Filipina yang juga pejuang kanser Marianne ‘Maan’ B Hontiveros, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail menyerahkan cek tersebut kepada Pengurus Besar Majlis Kanser Nasional (MAKNA) Farahida Mohd Farid.
Riad berkata, AirAsia mempunyai ramai pekerja yang juga pejuang kanser dan mereka telah memberikan aspirasi kepada syarikat itu melalui ketabahan dan kesungguhan yang dilalui.
“Sejak 2015, kempen ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk membantu pejuang kanser yang kurang bernasib baik di Malaysia,” katanya pada majlis #AirAsiaMAKNA: The Big Fight Fiesta di sini hari ini.
Dalam pada itu, Farahida berkata kempen tersebut bukan hanya untuk mengumpul dana semata-mata tetapi kerjasama bersama AirAsia akan turut memberi impak positif kepada pejuang kanser.
“Kini rakyat Malaysia bukan sahaja boleh terbang bersama AirAsia, malah lebih mengambil berat mengenai komuniti di sekelilingnya, inilah sebab utama kerjasama ini berjaya,” katanya.
Selaras dengan kempen ini, AirAsia turut menawarkan diskaun 20 peratus untuk semua penerbangan bagi tempahan yang dibuat melalui aplikasi mudah alih AirAsia menggunakan kod promosi MAKNA20, bermula 8 hingga 10 Julai, untuk tempoh perjalanan antara 1 Ogos dan 22 November depan. -bernama
0 comments
Post a Comment