Jul 8, 2018

Akaun Derma Bantu Najib Dibekukan

KUALA LUMPUR - Akaun bank yang dibuka Umno Pekan bertujuan mengumpul dana bagi membayar ikat jamin ahli Parlimennya yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan telah dibekukan.

Pembekuan akaun ini dimaklumkan oleh Ketua Wanita Umno Pekan, Datuk Zaimah Abdul Rahman, selepas menyedarinya pagi tadi.

Katanya, pembekuan akaun ini hanya berlaku di Pekan saja, tempat lain saya tak tahu.

“Umno Pekan buka akaun bank ini untuk kumpul duit bayar ikat jamin Datuk Seri Najib.

“Saya cuma tahu ia dibekukan pagi tadi, pembekuan akaun ini hanya terjadi di Pekan, tempat lain, tak tahulah,” katanya memetik laporan Malay Mail.

Bagaimanapun, tabung derma bantuan kepada bekas perdana menteri yang dikendalikan oleh bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii masih beroperasi.

Razlan dalam Twitternya menulis, akaun sumbangan Belia Berkhidmat untuk Tabung Solidariti Najib masih beroperasi seperti biasa, tidak dibekukan, malah akan dibuka sehingga jam 12 tengah hari Isnin nanti.

Setakat jam 5 petang semalam, dana itu telah mengumpul derma berjumlah RM223,908.

Derma itu bertujuan membantu Najib membayar baki wang ikat jamin berjumlah RM500,000 pada Isnin ini. -sinar online

0 comments

Post a Comment