Jul 9, 2018

Tempoh Pemutihan Majikan Daftar SOCSO Penghujung Julai

IPOH - Majikan mempunyai tempoh sehingga 31 Julai ini untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum Op Kesan dilaksanakan Ogos ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, tempoh pemutihan itu adalah peluang kepada majikan untuk berbuat demikian sebelum dikenakan tindakan sewajarnya.

“Sekiranya masih gagal hadir mendaftar, Perkeso akan turun melawat dan mengenalpasti majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum di seluruh negara.

“Mereka boleh dikenakan kompaun seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang media di Majlis Pelancaran Kaunter Khidmat Rakyat di Pasar Pagi Buntong di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin dan Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen.

Pada masa sama, Kulasegaran berkata, hanya 4.7 peratus pemandu teksi dan pengusaha e-hailing di seluruh negara telah berdaftar di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri, Perkeso.

Katanya, peratusan itu adalah kecil berbanding jumlah keseluruhannya iaitu 90,000 orang.

“Sektor ini merupakan pekerjaan paling berisiko kerana mereka sentiasa bergerak di jalan raya dan terdedah kepada bahaya. Golongan ini amat memerlukan perlindungan tersebut.

“Ramai pemandu masih belum berdaftar dan saya mohon agar mereka mendaftar dan mencarum dengan skim ini. Mereka perlu mengambil iktibar dengan kejadian pemandu Grab, Aiman Nosri yang meninggal dunia ketika bertugas tetapi tidak dilindungi Perkeso,” katanya.

Kulasegaran berkata, skim itu mewajibkan pemandu teksi dan pengusaha e-hailing berdaftar dan membayar caruman mengikut kadar dan kaedah dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

“Mereka mempunyai pilihan untuk lakukan caruman serendah RM157.20 setahun. Kita menggalakkan mereka untuk mencarum demi kebaikan mereka dan keluarga untuk mendapatkan perlindungan yang sewajarnya,” katanya. -sinar online

0 comments

Post a Comment