Jul 28, 2016

Suami Ugut Suruh Orang Lain Rogol Isteri Diberkas

KUCHING: Seorang isteri terpaksa melaporkan kapada pihak polis selepas suaminya mengugut menyuruh orang lain merogolnya kerana dia enggan memberikan wang.

Gambar hiasan.

Insiden dilaporkan berlaku di sebuah kedai membuat kek di Tabuan Desa ketika mangsa yang berusia 22 tahun berasal dari Kampung Tabuan Hilir sedang bekerja sekitar jam 1 petang kelmarin.

Difahamkan, suami mangsa yang berusia 23 tahun telah menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut dan terus meminta mangsa memberikan wang kepadanya.

“Mangsa yang tidak mempunyai wang tidak dapat menuruti kehendak suaminya itu yang kemudian bertindak menampar mangsa beberapa kali selain turut merosakkan barang di dalam kedai berkenaan.

“Suspek sebelum beredar juga mengugut akan menyuruh orang merogol mangsa menyebabkan dia ketakutan dan terus membuat laporan berhubung kejadian,” kata sumber.

Menurut sumber juga, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di mana sebelum ini suspek juga pernah bertindak melastik mangsa menggunakan batu sehingga menyebabkan kecederaan.

“Mangsa pernah dilastik suspek menyebabkan mangsa terpaksa mendapatkan rawatan. Selain itu, suspek dikatakan pernah mengamuk di rumah keluarga mangsa,” kata sumber.

Justeru bertindak kepada laporan polis yang dibuat mangsa, suspek berjaya ditangkap di rumahnya di Kampung Tabuan Lot sekitar jam 10 pagi semalam untuk siasatan lanjut.

Suspek yang ditahan di bawah Seskyen 323 Kanun Keseksaan Akta Keganasan Rumahtangga turut disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan. -theborneopost

0 comments

Post a Comment