Oct 23, 2017

Apa Lagi Yang UMNO Mahu?

Setelah UMNO mendakwa berjaya membawa berbagai kemajuan sepanjang 56 tahun menguruskan negara, ia dengan mudah boleh senaraikan ribuan pencapaian dalam setiap bidang, sosial, ekonomi, pendidikan, politik, undang-undang dan penguatkuasaan, pembangunan, pengangkutan, seni, industri dan lain-lain sektor.

UMNO

Senarainya panjang tetapi boleh disediakan oleh UMNO bagi membuktikan kepada rakyat terhadap pencapaiannya.

UMNO boleh meyakinkan rakyat tanpa bersusah-payah dan dengan gambaran yang dipaparkan melalui media pro-UMNO, sesungguhnya UMNO harus mampu untuk menang dalam setiap pilihan raya tanpa ragu, tanpa menabur wang ataupun menipu.

Tetapi, mengapa setelah mencapai segala kemajuan UMNO masih perlu menipu dalam setiap pilihan raya umum?

Mengapa UMNO perlu memberi wang dan lain-lain bentuk rasuah untuk mendapat undi? Jika pemimpin UMNO begitu baik, mengapa mereka perlu melakukan apa sehaja untuk memenangi pilihan raya?

Walaupun pembangunan telah banyak dilaksanakan oleh UMNO seperti yang didakwanya, UMNO kini terpaksa mengemis agar rakyat terus memberikan mereka mandat. Setiap pemimpin UMNO sekarang ini berkeliaran di mana sehaja seperti pengemis, mengemis simpati daripada rakyat.

Najib pula telah melakukan segala macam usaha yang sesetengahnya tidak masuk akal seperti membuka akaun Facebook dan menggunakan bots untuk “Like”, menganjurkan perhimpunan besar-besaran, menghantar kad ucapan dan menabur janji di mana-mana dia pergi.

Apakah semua ini membuktikan kegagalan UMNO?

Semua ini menunjukkan bahawa apa yang UMNO telah lakukan selama 56 tahun yang lalu tidak berharga sama-sekali.

Rakyat tidak menghargai apa yang telah dilakukan UMNO. Tiada apa-apa perkara luarbiasa yang UMNO telah lakukan yang membuat orang merasa terhutang budi kepada mereka. Tiada apa yang cemerlang dalam prestasi UMNO yang orang boleh berasa terhutang budi kepada UMNO.

Apa yang UMNO gagal memahami ialah bahawa apa yang mereka telah lakukan selama ini, tidak cukup bagi rakyat.

UMNO mesti lakukan lebih dari apa yang dicapai setakat ini. UMNO gagal untuk memenuhi KPI yang ditetapkan oleh rakyat.

UMNO gagal untuk menerima hakikat bahawa dalam 50-an dan 60-an, Singapura, Hong Kong, Korea adalah lebih miskin daripada Malaysia tetapi selepas 56 tahun mereka berada dalam liga mereka tersendiri dan Malaysia masih bergelut dengan apa yang perlu dilakukan untuk maju!

Ia adalah kesalahan UMNO sendiri untuk bermegah-megah dengan segala apa yang mereka capai walaupun pencapaian tersebut tidak seberapa, malahan di bawah par.

Sifat bermegah-megah ini telah menjadi tabir mata kepada UMNO dan natijahnya adalah kesan negatif yang sedang dirasai dan dilihat sekarang.

UMNO enggan mengakui bahawa mereka telah melakukan kesalahan dan mesti berubah.

UMNO tidak menunjukkan sebarang penyesalan di sebalik semua pendedahan perbuatan salah mereka tetapi masih mahu menafikan atau menjustifikasikan tindakan mereka yang salah.

Ini kerana pemimpin UMNO hanya sibuk mencuri apa sahaja yang mereka boleh, secara sah di sisi undang-undang, di samping usaha membentuk negara.

Kita tahu terlalu banyak contoh skandal yang walaupun ada bukti yang sangat jelas dan tidak boleh disangkal melibatkan wang awam, UMNO berusaha menutup semua kes tersebut walaupun jelas salah.

Pendek-kata rakyat tahu bahawa UMNO adalah benar-benar sebuah parti rasuah!

Rakyat telah mual dengan UMNO

UMNO juga mesti menerima hakikat bahawa mereka tidak boleh mendapat kedua-duanya sekali iaitu; terus dengan amalan rasuah dan masih mahu rakyat terus mengundi mereka.

Tidak boleh dinafikan senarai pencapaian UMNO yang boleh diterima, tetapi untuk berlaku adil, mesti ada satu senarai salah-laku dan penyelewengan UMNO yang lebih panjang .

Pada hari-hari terakhir UMNO berkuasa dan tanpa kredibiliti, UMNO terpaksa mengemis secara berterusan kepada rakyat.

UMNO berkelakuan seperti kanak-kanak yang degil dengan pelbagai kerenah, sehingga membangkitkan rasa bosan rakyat dengan telatahnya.

Apa lagi yang UMNO mahu? -UOV

0 comments

Post a Comment