Jul 16, 2018

Air terjun Popular Kering Selepas 42 Tahun

LONDON – Sebuah air terjun yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem Robin Hood: Prince of Thieves hampir kering sepenuhnya akibat cuaca panas berterusan di Britain dan Wales.

Fenomena luar biasa yang ‘mengeringkan’ Aysgarth Falls di Yorkshire Dales itu dikatakan kali pertama berlaku sepanjang kejadian gelombang panas lebih 40 tahun lalu.

Robin Hood: Prince of Thieves ditayangkan pada tahun 1991 dan Kevin Costner melakonkan watak utama iaitu Robin dalam filem itu.

Sejumlah pengunjung berasa terkejut menyaksikan kemarau di kawasan Aysgarth Falls di mana sebelum ini keadaannya lembap selain kaya dengan limpahan air.

“Saya terkejut melihat kejadian ini. Kami bertanya penduduk setempat dan mereka menyatakan fenomena ini belum pernah berlaku sejak 1976,” kata Katie Seal, 25, dari Swinithwaite di Yorkshire Dales.

Cuaca panas yang melanda Britain itu dipercayai musim panas yang paling panas sejak tahun 1976.

Jabatan Kaji Cuaca meramalkan suhu panas 30 hingga 31.1 darjah Celsius ketika ini mungkin berterusan hingga minggu depan. Suhu paling rendah diramalkan adalah 21.1 darjah Celsius. – Agensi

0 comments

Post a Comment