KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus tiket bagi menyaksikan pertarungan 'Fight of Champions' antara legenda Filipina Manny Pacquiao dan Lucas Matthysse sudah dijual setakat Rabu.
Ketua Perniagaan Promosi MP, Arnold Vegafria berharap baki tiket berkenaan akan terjual dalam beberapa hari lagi bagi menyaksikan pertarungan itu pada 15 Julai ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, kerana penganjur bercadang menawarkan diskaun.
“Tiket VVIP dan VIP sudah habis dijual, manakala tiket platinum hampir terjual keseluruhannya.
"Berbaki kira-kira 10 hari lagi, kita berharap dapat menjual baki tiket menyaksikan pertarungan itu dengan menawarkan diskaun istimewa.
“Ini pertarungan terbesar di Asia kerana kedua-dua mereka adalah juara dan peninju agresif,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Belia dan Sukan di sini, Khamis.
Harga tiket bagi menyaksikan pertarungan antara 'Pacman' yang akan dicabar peninju kelahiran Argentina, Matthysse bagi merebut gelaran Welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) itu adalah RM488 hingga RM19,888 dan boleh didapati di mytickets.asia.
Arnold berkata penonton dari seluruh dunia boleh menyaksikan pertarungan itu yang dijadual bermula selepas 11.30 pagi (acara utama) pada Ahad depan, melalui bayar setiap tontonan; tontonan percuma di televisyen atau kata laluan sekali (OTP) di internet.
“Bagi rakyat Malaysia, mereka boleh menyaksikan pertarungan ini menerusi bayar setiap tontonan di Astro.
“Kita juga akan berunding dengan RTM (Radio Televisyen Malaysia) untuk menyiarkannya secara percuma, kita akan lihat bagaimana.
"Kita juga menjangkakan lebih 80 petugas media tempatan dan antarabangsa akan membuat liputan pertarungan itu,” katanya.
Mengulas mengenai Restituto 'Buboy' Fernandez iaitu jurulatih baharu Pacquiao, Arnold berkata kerjasama antara kedua-dua rakan lama itu menjanjikan sesuatu menarik, selepas 'Pacman' tidak lagi bersama-sama Freddie Roach, yang membimbingnya sejak 2002.
"Pacquiao mahu memberi peluang kepada Buboy, kerana beliau tidak tahu berapa kali lagi dia akan bertarung selepas ini.
"Kombinasi ini kelihatan bagus dengan gaya, strategi dan teknik berbeza,” katanya. -bernama
0 comments
Post a Comment