Najib diberkas di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada jam 3.15 petang.
KUCHING: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, hari ini.
Kenyataan media daripada Pasukan Petugas Khas 1MDB yang mengesahkan tangkapan itu berkata Najib diberkas pada pukul 2.35 petang.
“Najib akan dituduh pada 4 Julai 2018 (esok) pada pukul 8.30 pagi di Mahkamah Kuala Lumpur,” kata kenyataan tersebut.
Pasukan petugas itu dianggotai Tan Sri Abdul Ghani Patail, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul dan Datuk Abdul Hamid Bador.
Sebelum ini Najib hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 21 dan 24 Mei berhubung kes SRC International Sdn Bhd.
Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pada 5 Jun juga diminta memberi keterangan berhubung kes sama.
Manakala, anak tiri Najib, Riza Aziz turut memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM hari ini, bagi memberi keterangan berhubung siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Siasatan berhubung kes tersebut dimulakan selepas Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.
Kerajaan Persekutuan yang baharu dibentuk Pakatan Harapan (PH) dengan diterajui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad. -utusanborneo
0 comments
Post a Comment