Jul 8, 2018

'Kerajaan Tunai Janji Beri Subsidi Petrol' - Rafizi

SHAH ALAM - Kerajaan dilaporkan sudah menunaikan manifesto berkaitan pemberian subsidi petrol kepada rakyat Malaysia.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan Pakatan Harapan menyediakan subsidi bagi setiap pembelian minyak RON95 dan diesel sama seperti yang dijanjikan sebelum PRU14.

Rafizi berkata, bagi mengekalkan subsidi minyak, pendapatan kerajaan perlu kekal tinggi untuk mengimbangi subsidi dengan harga minyak dunia.

“Kerajaan sudah menyediakan subsidi bagi setiap pembelian RON95, diesel seperti janji Pakatan Harapan.

“Makin tinggi harga minyak mentah, makin tinggi kos subsidi tetapi pendapatan kerajaan juga makin tinggi.

"Sebab itu perlu seimbangkan, berapa peratus dari pendapatan hasil minyak itu untuk subsidi,” tulisnya di Twitter miliknya.

Sempena PRU14, Harapan melancarkan manifesto bertemakan Membina Negara Memenuhi Harapan.

Ia menggariskan lima teras utama, iaitu meringankan beban kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran dan politik, merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 dan membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Selain itu ia turut memberi perhatian kepada 10 janji dalam tempoh 100 hari, 60 janji dalam tempoh lima tahun dan lima iltizam khusus.

Antara 10 janji tersebut termasuklah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), subsidi petrol bersasar, hapus hutang peneroka Felda, KWSP untuk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum, menangguhkan bayaran PTPTN, menyiasat skandal, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, Skim Peduli Sihat dan kaji semula projek mega.

Sejak Harapan berkuasa, Harga RON95 serta diesel kekal, masing-masing pada RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter, sehingga akhir tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion subsidi untuk RON95 dan diesel, bagi memastikan harga bahan api ini diapungkan di pasaran.

Mengulas harga minyak dunia yang kekal tinggi pada kadar AS$77, Rafizi berkata, harga itu bergantung kepada sekatan eksport minyak Iran, keadaan semasa Libya dan Venezuela serta West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat.

“Setiap kenaikan AS$1 sumbang RM300 juta pendapatan negara, perlu kira pembahagian seimbang subsidi-tanggung hutang,” katanya. -sinar online

0 comments

Post a Comment