ORANG biasa macam saya tidak begitu kenal dengan Tommy Thomas tetapi dalam kalangan peguam, ia adalah antara nama besar lagi dihormati.
Thomas diakui sebagai antara peguam terbaik di Malaysia dan terkenal hingga ke peringkat antarabangsa.
Dianggap berkarisma, beriltizam dan lantang dalam menyuarakan pandangan, Thomas muncul dalam banyak kes penting sejak lebih 40 tahun dahulu.
Maka, tidaklah hairan apabila beliau terpilih menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara pada 4 Jun selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada 9 Mei lalu.
Dalam suasana demikian, barangkali tidak terlintas dalam fikiran Thomas sendiri bawa beliau akan berhadapan dengan beberapa persoalan dan kritikan.
Pada hari pertama di mahkamah sebagai ketua kumpulan pendakwa dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 4 Julai lalu, pihak pembela telah menyuarakan hasrat memohon mahkamah tinggi menggugurkan beliau atas alasan beliau pernah mengkritik Najib.
Najib didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa, membabitkan wang RM42 juta di mahkamah sesyen dan dibacakan sekali lagi di mahkamah tinggi. Najib mengaku tidak bersalah.
Menurut laporan The Star, peguam yang mengetuai pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, mereka mahu kumpulkan semua maklumat berkaitan dengan kritikan Tommy terhadap Najib sebelum bertindak.
Pada masa sama, Tommy juga menerima kritikan beberapa pihak kerana meminta mahkamah membenarnya berhujah dalam bahasa Inggeris.
Kelemahannya bertutur bahasa Melayu ditimbulkan sebaik sahaja beliau dilantik menggantikan Mohamad Apandi bulan lalu lagi.
Tommy sendiri tidak menyembunyikan hakikat bahawa beliau perlu memperbaiki pertuturannya dalam bahasa Melayu.
Ketika ditemui wartawan, beliau memberitahu, dalam menjalankan tugasnya selama 42 tahun, berurusan dengan klien, dan dokumen.
Beliau tidak banyak menggunakan bahasa Melayu dan berjanji akan memperbaikinya.
Bekas penasihat sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim turut menegur Tommy supaya belajar dan bertutur dalam bahasa Melayu dalam urusan melibatkan kerajaan dan mahkamah.
Katanya, ia perlu berdasarkan peruntukan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan menggunakan bahasa Melayu semasa melaksanakan urusan rasmi kerajaan.
“Bukan susah, kalau boleh belajar bahasa Inggeris kenapa tak boleh belajar bahasa Melayu?
“Bukan semua hujah di mahkamah tak dibenarkan berbahasa Inggeris tapi dalam mukadimah tirai pentas mestilah dibuat dalam bahasa Melayu. Ini tak dibuat (oleh Thomas) dan saya kesal,” katanya kepada Malaysiakini.
Keadaan menjadi kecoh apabila Thomas mahu memulakan sidang media selepas perbicaraan.
Penyokong Najib mula bersorak, mendesak beliau berbahasa Melayu semasa bercakap kepada wartawan.
Rais juga menyentuh isu penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan media Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Kepada rakan-rakan dalam kerajaan, tak payahlah nak ada terjemahan, nak bawa kepada media dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan sebab sudah pun kita wujudkan piagamnya.
Katanya, untuk bangsa Malaysia dinaikkan, ia perlu jadi pegangan dan urusan masa depan.
Jika kedua-dua kejadian itu tidak ditangani, katanya, ia akan memberi ruang kepada pembangkang menjadikannya isu menyerang kerajaan.
“BN akan muncul dengan kekuatan baru mereka dan melalui perbicaraan kelmarin kita dapat lihat mereka mengambil langkah-langkah garang di mahkamah.
Dalam Twitter tidak lama lepas itu, Ahli Majlis Tertinggi PKR Latheefa Koya pula mengkritik Pas dalam isu yang sama.
“Saya nak tanya Pas, masa mereka ambil Thomas mewakili Kerajaan Kelantan dalam tuntutan royalti minyak di mahkamah beberapa tahun lalu, Thomas cakap bahasa apa?” beliau bertanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan Bendahari Ulamak Pas, Khairuddin Aman Razali, yang mendakwa tindakan Guan Eng dan Thomas membuktikan Pakatan Harapan mengetepikan bahasa Malaysia.
Sementara itu, terdapat individu tempatan memulakan petisyen atas talian memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong menyingkir Thomas sebagai Peguam Negara kerana kelemahannya berbahasa Melayu.
Hingga rencana ini disiapkan, petisyen tersebut yang dimulakan pada 4 Julai, telah mengumpulkan 1,765 tandatangan.
Pada masa sama, Menteri Belia Syed Saddiq Abdul Rahman menegur kumpulan yang mengganggu Thomas ketika mahu mengadakan sidang media dalam bahasa Inggeris selepas kes Najib di mahkamah.
Dalam keadaan yang ada ini, terdapat suara yang bertanya yang mana perlu diberi tumpuan; penggunaan bahasa atau keberkesanan hujah dalam mengendalikan kes mahkamah? -sinar online
0 comments
Post a Comment