PUTRAJAYA - Sehari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa beliau boleh terus tinggal di Malaysia selagi tidak menimbulkan masalah, penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik menemui perdana menteri, hari ini.
Pertemuan tidak dijadualkan itu dikatakan berlangsung dalam tempoh waktu yang singkat sahaja.
Memetik laporan FMT, menurut sumber, pertemuan antara Dr Zakir dan Perdana Menteri tidak diketahui butir perbincangan.
“Saya boleh mengesahkan Zakir berjumpa Tun (Dr Mahathir Mohamad) pagi ini,” kata sumber itu.
Pertemuan itu diadakan sehari selepas Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak akan mengusir Zakir selagi beliau tidak menimbulkan masalah kerana beliau mempunyai status penduduk tetap.
Spekulasi timbul dalam kalangan media India bahawa Kerajaan Malaysia akan bertindak terhadap permohonan ekstradisi dikemukakan New Delhi Januari lalu.
Rabu lalu, Kementerian Luar India mengesahkan permohonan rasmi sudah dikemukakan kepada Malaysia.
Zakir mendakwa media di India menyasarkannya atas kempen cercaan sejak dua tahun lalu dan berikrar akan mendedahkan “berita palsu” mengenai pengusirannya.
“Kebanyakan artikel yang diterbitkan mengenai saya akan dibuktikan tidak berasas dan ia adalah palsu,” katanya dalam rakaman video baru dimuat naik ke Facebooknya.
Dr Zakir adalah individu yang dikehendaki pihak berkuasa India. -sinar online
0 comments
Post a Comment